Monday, April 27, 2015

ASAL USUL BATU PUNGGUL




Info



ASAL USUL BATU PUNGGUL

Kedudukan Batu Punggul
Diagram ini diambil pada tahun  1913/1932-1958 oleh Syarikat Shell British.

Pada suatu masa dahulu terdapat dua buah rumah panjang di Hulu Sungai Sepulut.Kedua-dua buah rumah ini dipisahkan oleh sebatang sungai yang bernama Sungai Sepulut. sungai ini merupakan perantaraan kedua-dua buah rumah panjang berkenaan. Penduduk yang menghuni rumah panjang berkenaan terdiri daripada suku kaum murut dan kaum ini merupakan penduduk yang terawal sekali menetap di pedalaman Sepulut.
Penduduk atau penghuni di kampung ini mengamalkan kepercayaan animisme. Mereka mempercayai kepercayaan tahyul, roh, sihir dan sebagainya. Mereka juga mempunyai agama yang tersendiri iaitu agama ciptaan manusia seperti menyembah berhala. mereka percaya bahawa berhala-berhala ini mempunyai kuasa dan malapetaka akan terjadi sekiranya tidak mematuhi pantang larang yang telah dibuat oleh nenek moyang mereka terhadap batu berhala tersebut. contohnya jika seorang itu disumpah akan dimakan oleh buaya, maka dia pasti akan menjadi mangsa buaya apabila turun ke sungai.
Penduduk di kampung berkenaan mengamalkan pelbagai upacara yang besar-besaran seperti upacara perkahwinan, pengkebumian mayat dan 'tinauh'.Upacara ini amat dikenali dalam masyarakat murut dan ia merupakan satu bentuk penghantaran berian secara besar-besaran yang terakhir daripada pihak lelaki kepada pihak perempuan.
Pada suatu hari, salah seorang penghuni di rumah panjang berkenaan telah mengadakan majlis tinauh di tempat kediamannya.Semasa mereka sedang bersuka ria, tiba-tiba sahaja mereka telah kehabisan kayu api dan menyebabkan apa mereka padam. Hal berkenaan telah diadukan oleh penghuni berkenaan kepada ketua rumah panjang dan selepas bermesyuarat, mereka pun bersetuju untuk mendapatkan bantuan api dari rumah panjang di seberang sungai berkenaan. Tetapi malangnya penghuni rumah panjang di seberang tidak dapat menghantar api berkenaan kerana pada masa itu Sungai Sepulut sedang banjir besar dan tidak boleh diseberangi kerana alirannya terlalu deras dan merbahaya.
Ketua rumah panjang berkenaan terus memanggil-memanggil dengan penuh harapan dan mereka mulai merasa takut kerana hari semakin gelap. Keadaan mula menjadi sunyi sepi dan penghuni di rumah panjang yang sedang bersuka-ria itu mula merasa cemas. Jiran mereka di seberang sungai masih dapat melihat keadaan mereka dan ini menyebabkan mereka merasa sedih dan bersimpati. Ketua rumah panjang berkenaan kemudian memanggil semua anak-anak buahnya dan mereka telah mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan apa tindakan yang boleh diambil bagi membantu kawan-kawan mereka di seberang.
"Apa kata kalau kita mengikat sebatang kayu yang bernyala di kepala seekor anjing dan menyuruhnya berenang ke seberang.." Tiba-tiba seorang pemuda yang agak segak dan gagah memberikan cadangannya. Semua penduduk dirumah panjang berkenaan bersetuju sebulat suara dan mereka kemudian mendapatkan seekor anjing dan mengikat sebatang kayu yang bernyala ke kepalanya. Anjing itu kemudiannya diarahkan oleh mereka untuk berenang, bagaimanapun anjing berkenaan tidak sempat sampai ke seberang kerana telah hanyut dibawa arus deras, tetapi mujurlah ia dapat menyelamatkan dirinya. Hal yang berlaku itu diangap lucu oleh para penghuni rumah panjang tersebut lalu mereka ketawa terbahak-bahak hingga lupa masalah yang sedang mereka hadapi kelak...!!
Lain pula halnya dengan jiran mereka yang sedang menanti dengan penuh harapan diseberang sungai, mereka hanya memperhatikan dengan tenang peristiwa berkenaan dan tidak mentertawakan anjing yang malang itu kerana takut peristiwa buruk akan menimpa mereka kelak.
Setelah kegagalan anjing berkenaan, mereka telah mencari ikhtiar lain. Kali ini mereka telah menggunakan seekor ayam jantan. Mereka telah mengikat kayu yang bernyala ke seekor ayam jantan berkenaan dan mengharapkan ayam berkenaan dapat terbang ke seberang sungai dan seterusnya memberikan bantuan api berkenaan.
Ayam jantan berkenaan telah diterbangkan ke seberang, bagaimanapun ayam jantan berkenaan telah jatuh ke dalam sungai sebaik sahaja sampai di tengah-tengah sungai. Sekali lagi para penghuni rumah panjang berkenaan tertawa terbahak-bahak melihat peristiwa lucu berkenaan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling mereka yang semakin gelap.

Setelah kehabisan ikhtiar dan usaha maka penghuni dirumah panjang sedang menantikan bantuan berkenaan pun balik ke bilik kediaman masing-masing kerana sudah tidak sanggup lagi melihat telatah jiran mereka di seberang sungai. Bagaimanapun sebahagian daripada mereka masih meneruskan aktiviti masing-masing. Mereka telah mengambil seekor pacat yang kebetulan berada di ruang minum tapai. Mereka meneruskan aktiviti dengan mempermainkan pacat berkenaan iaitu memberi minum tapai, tetapi pacat berkenaan tidak mengerti perilaku manusia kerana pacat berkenaan merupakan seekor haiwan. Aktiviti untuk memaksa pacat berkenaan minum tapai diteruskan. Keadaan ketika itu melucukan kumpulan berkenaan sehingga meeka tidak menyedari bahawa perbuatan tersebut boleh membawa malapetaka. 
Tiba-tiba angin ribut muncul, hujan lebat, petir dan solah-olah peperangan dunia kedua. Keadaan menjadi huru hara dan petanda malapetaka akan menimpa kampung sebelah. 
Semua penghuni rumah seberang merasa takut dan mula mendiamkan diri. didalam hati mereka telah timbul rasa kesal yang amat sangat kerana telah melanggar adat dan pantang larang nenek moyang mereka. Dalam suasana rasa tidak tenang,  tiba-tiba mereka  ternampak sesuatu berwarna hitam gelap telah jatuh dari langit dan secara kebetulan benda tersebut jatuh tepat mengenai bumbung rumah panjang mereka.Dengan serta merta rumah panjang mereka menjadi batu berserta dengan penghuninya sekali dan batu itu amat tinggi sekali pada masa itu. 
Manakala anjing dan ayam jantan yang digunakan untuk menghantar bantuan api ke rumah panjang yang telah bertukar menjadi batu juga telah berubah menjadi batu yang menyerupai bentuk kedua-dua jenis binatang berkenaan. Kedua-dua batu berkenaan tersadai di tebing Sungai Sepulut. 
Malapetaka yang menimpa rumah panjang di seberang sungai berkenaan menyebabkan rumah panjang yang berdekatan dengan peristiwa tersebut terlibat dari pancaran sinar matahari dimana penghuninya merasa bosan kerana batu yang menghalang pancaran matahari di sebelah rumah panjang berkenaan tidak dapat menembusi batu berkenaan dan keadaan persekitaran rumah panjang yang tidak terlibat dengan malapetaka berkenaan dalam keadaan gelap. 
Setelah sepakat, keluarga rumah panjang berkenaan telah bersetuju agar tujuh orang adik beradik berkenaan pergi ke batu berkenaan untuk menebang puncak yang menutupi pancaran matahari ke rumah panjang mereka. Adik pertama gagal dan seterusnya, sehingga kepada yang bongsu, maka sebahagian puncak batu berkenaan dapat di tebang dan pancaran mataharipun dapat menyinari persekitaran rumah panjang mereka. Adik yang bongsu tadi digelar sebagai wira. Sungguhpun batu berkenaan dapat ditebang sebahagiannya, ianya masih meninggal punggul yang masih tinggi dan sehingga kini batu berkenaan kelihatan yang masyarakat pada dahulu kala memanggilnya "Batu Punggul"  
Melalui cerita & legenda ini, pihak kami berpendapat bahawa batu berkenaan berkemungkinan lebih tinggi daripada yang kita lihat sekarang ini. Selain dari itu kewujudan Batu Punggul tidak dapat dikesan, namun perkiraan dan mengikut kajian sejarah melaluid -  Geological Shell Britisah ( Pakar Pencari Minyak ) kami berpendapat bahawa Batu Punggul ini wujud sejak beribu tahun yang lalu. Tiada ketepatan tahun yang dapat dinyatakan. 


Sumber : Masyarakat Sapulut, Pejabat Daerah, Arkib Jabatan
Kredit SayangiNabawan

0 comments:

Post a Comment