HARVEST FESTIVAL
NABAWAN: Perayaan Pesta Kaamatan dan Tamu Besar (Panawari) peringkat Daerah Nabawan yang akan berlangsung pada 23 Mei depan dijangka akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.
Pegawai Daerah Nabawan Fredian Gan berkata, pada tahun ini daerah Nabawan akan mengadakan Perayaan Kaamatan dan Panawari sebagai wadah pemantapan perpaduan dan persefahaman rakyat khususnya warga di daerah ini.
Katanya, ia sekali gus bertujuan mengembalikan nostalgia perayaan panawari yang diraikan sekali setiap tahun pada tahun 60an di Pensiangan yang menjadi pusat pentadbiran daerah ini pada zaman dahulu.
“Perayaan dua dalam satu yang diraihkan selama tiga hari itu bermula pada 21 – 23 Mei dengan pelbagai pengisian” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan perayaan itu pada Isnin.
Jelasnya, antara pengisian dalam tempoh selama tiga hari perayaan itu berlangsung adalah pertandingan sukan rakyat, pameran rumah tradisi sebanyak lima buah yang didirikan oleh setiap mukim, pameran makanan tradisi, persembahan lagu-lagu rakyat, persembahan kebudayaan, pameran dan pertandingan hasil masul pertanian dan ternakan, pameran jabatan/agensi kerajaan, pertandingan bercerita dalam bahasa Murut, malam legenda, pertandingan Unduk Ngadau, Sugandoi dan cabutan tiket bertuah yang menyediakan hadiah-hadiah yang lumayan dan istimewa.
Fredian memberitahu, bersempena dengan kunjungan Ketua Menteri ke daerah ini beliau akan melawat projek pembinaan Kilinik Kesihatan Nabawan, Merasmikan kompleks Jabatan Kerja Raya (JKR) Nabawan dan akan mendengar taklimat daerah dan seterusnya majlis penyerahan geran komunal yang membabitkan empat kawasan.
Dalam masa yang sama Fredian berharap agar semua penduduk daerah Nabawan akan datang beramai-ramai untuk sama-sama meraihkan Pesta Kaamatan dan Perayaan Panawari yang julung-julung kalinya di milinium ini yang diraih bersama dengan Pesta Kaamatan.
Sementara itu persiapan dan pembinaan rumah tradisi yang akan dipertontonkan kepada orang ramai pada dua dalam satu itu nanti sudah bermula.
Mukim Pamuntarian yang diketuai oleh Ketua Anak Negeri (KAN) Daibol Limbawang sudah mula mendirikan rumah tradisi dengan bahan kayu bulat, berdinding bambu dan berbumbung daun.
Menurut Daibol, rumah tradisi Mukim Pamuntarian menunjukkan ciri-ciri rumah suku kaum Paluan pada zaman dahulu.
MARUTIN ANSIUNG
Gambar : SayangiNabawan DailyNews